Rabu, Disember 31, 2025

Rabbana Lakal Hamd

Syaikhul Azhar, al-Imam al-`Allaamah Ibrahim bin Muhammad al-Bajuri rahimahullah dalam hasyiah beliau atas syarah Imam Ibnu Qasim al-Ghazi rahimahullah bagi matan Qadhi Abu Syuja' rahimahullah yang masyhur, juz 1, halaman 170 menjelaskan bahawa shighah tahmid yang disunatkan ketika i'tidal ada tujuh (7) lafaz. Lafaz - lafaznya adalah sebagai berikut:- 

  1. Rabbana lakal hamd;
  2. Rabbana wa lakal hamd;
  3. Allahumma Rabbana lakal hamd;
  4. Allahumma Rabbana wa lakal hamd;
  5. Lakal hamdu Rabbana;
  6. Alhamdu li Rabbina; dan
  7. Li Rabbinal Hamd.
Maka, terhasillah pahala sunat dengan mana - mana lafaz tersebut. Namun yang biasa dan menjadi pilihan adalah dua yang pertama. Dalam mazhab kita, yang afdhal adalah lafaz yang pertama iaitu Rabbana lakal hamd sebagaimana pilihan asy-Syaikhan (dua syaikh yang utama menjadi tonggak mazhab Syafie, iaitu Imam ar-Rafie rahimahullah dan Imam an-Nawawi rahimahullah). Ini adalah kerana lafaz inilah yang paling kukuh datangnya daripada sunnah Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam, antaranya sebagaimana diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari rahimahullah dalam shahihnya.

Manakala Imam asy-Syafie radhiyaAllahu `anhu sendiri lebih menyukai dan memilih lafaz yang kedua iaitu Rabbana wa lakal hamd. Ini adalah kerana lafaz tersebut selain tahmid ia juga menghimpun doa dan i'tiraf (pengakuan) yang difahami secara taqdir. Taqdir yang dimaksudkan di sini bukanlah atas istilah ilmu kalam atau ilmu aqidah atau ilmu sifat 20, yang merujuk kepada qadha` dan qadar Allah ta`ala. Taqdir di sini adalah menurut ilmu lughah / bahasa, yang secara ringkas ditakrifkan sebagai: "itsbatul ma'na ghairi madzkurin lafzan" iaitu "menetapkan suatu makna (pengertian yang difahami) yang tidak disebut dalam lafaz". Untuk mengetahui lebih lanjut tentang hal ini, kaedah dan syarat - masyruthnya, silalah dirujuk dalam kitab - kitab ilmu bahasa. Maka lafaz Rabbana wa lakal hamd itu taqdirnya adalah seumpama: Rabbana (istajib lana) wa lakal hamd (`ala hidayatika iyyana) - [Wahai Tuhan kami (terimalah bagi kami segala amalan dan permohonan) dan untukMu segala pujian (atas hidayah petunjukMu bagi kami)]; AtauRabbana (atha'naka) wa lakal hamd (`ala tawfiqika lana) - [Wahai Tuhan kami (kami telah mentaatiMu) dan untukMu segala pujian (atas tawfiqMu bagi kami)].

Inilah sedikit penjelasan mengenai lafaz - lafaz tahmid ketika i'tidal. Semoga bermanfaat dan bertambah pengetahuan kita mengenai ibadah asasi kita.

Rabu, Disember 24, 2025

Surah al-Wilayah

Menjejaki usia senja, mata semakin kabur. Di antara amalan sunat yang afdhal adalah membaca al-Quran. Bagi yang mampu, lakukanlah sebanyak - banyak khataman, manakala yang belum berpeluang, maka perbanyakkanlah membaca apa jua surah atau ayat - ayat al-Quran terutama yang memiliki keutamaan dan fadhilat besar sebagaimana warid dalam nas. Tidak dapat dinafikan, di antara surah - surah tersebut, Surah al-Ikhlas adalah antara surah yang telah sabit kelebihan dan fadhilatnya Maka sayogia  kita membasahi lidah memperbanyakkan bacaannya. 

Di antara sekian nama - nama yang disematkan kepada surah yang mulia ini, ianya dipanggil sebagai Surah al-Wilayah sebagaimana tercatat dalam Tafsir al-Kabir karya Imam Fakhrurrazi rahimahullah. Dalam juz ke-32, halaman 175, beliau menulis, antara lain, sebagai berikut:- ...(Dan nama yang keenam bagi Surah al-Ikhlas) adalah Surah al-Wilayah kerana sesiapa yang membacanya akan menjadi daripada kalangan awliya` (wali - wali) Allah dan sesiapa yang mengenali Allah atas wajah sebagaimana dinyatakan dalam surah ini, maka dia telah menjadi waliNya. Maka sesudah mihnah (kesusahan / cobaan / ujian pahit getir) akan ada rahmat, sebagaimana selepas diberi anugerah (minhah) akan ada kenikmatan dan keberkatan....

Maka, lazimkanlah membaca dan mentadabbur serta menghayati surah ini dengan penuh keyakinan dan keimanan. Mudah - mudahan menjadi sebab kita lebih hampir kepada rahmat dan keredhaan Allah, Tuhan yang Maha Esa yang Tiada Tara, sehingga kita dipandangNya tergolong dalam golongan para awliya`Nya.

Klip Guru Bakhiet



Rabu, November 26, 2025

Bujairimi & Hasyiah Bujairimi

Syaikh Sulaiman bin Muhammad bin `Umar al-Bujairimi rahimahullah adalah salah seorang ulama kenamaan dalam Mazhab Syafie. Beliau dilahirkan pada tahun 1131H di Bujairim, sebuah desa di barat Mesir dan wafat pada tahun 1221H. Sejak kecil beliau telah dihantar ke Kaherah untuk menuntut ilmu di al-Azhar asy-Syarif. Beliau terkenal sebagai seorang faqih dan muhaddits dan disematkan kepadanya gelar "Khatimatul Muhaqqiqin".

Di rantau kita, mungkin karya Syaikh Sulaiman al-Bujairimi yang paling masyhur adalah hasyiah beliau atas kitab al-Iqna` karangan Syaikh Khathib asy-Syarbini rahimahullah. Hasyiah tersebut diberi jodol Bujairimi alal Khathib atau Tuhfatul Habib `ala Syarhil Khathib. Kitab al-Iqna` pula adalah syarah bagi kitab at-Taqrib atau Ghayatul Ikhtishar atau lebih dikenali sebagai Matan Abi Syuja` karangan al-Imam al-Qadhi Abu Syuja` al-Ashfahani rahimahullah. Mengikut tradisi pengajian sesetengah pondok dan sebahagian ulama, bila disebut "Bujairimi" atau "Bujairimi `alal Khathib", maka yang dimaksudkan adalah kitab ini, yang merupakan hasyiah bagi Iqna`.

Selain, Bujairimi `alal Khatib, Syaikh Sulaiman al-Bujairimi juga memiliki karya lain yang menghasyiahkan kitab Fathul Wahhab karangan Syaikhul Islam Zakaria al-Anshari rahimahullah. Kitab ini dinamakan Hasyiah al-Bujairimi `ala Syarhi Manhajith Thullab atau at-Tajrid Linaf`il Abid. Manhajuth Thullab itu adalah karya Syaikhul Islam Zakaria juga dan karya ini beliau syarahkan pula menjadi kitab Fathul Wahhab. Kebiasaannya, jika disebut "Hasyiah Bujairimi", maka yang dimaksudkan adalah hasyiah al-Bujairimi bagi Fathul Wahhab.

Faqir catatkan hal ini di sini sebagai kenangan ketika mengaji dahulu dan juga kerana telah berlaku kekeliruan ketika ada yang merujukkan faqir kepada Bujairimi sedangkan yang dimaksudkan adalah Hasyiah Bujairimi. Untuk mengelak berlaku kekeliruan lagi, maka kebiasaanya Bujairimi atau Bujairimi alal Khathib  itu merujuk kepada Tuhfatul Habib `ala Syarhil Khathib yang merupakan hasyiah bagi kitab Iqna` karya Syaikh Khathib asy-Syarbini, manakala Hasyiah Bujairimi merujuk kepada at-Tajrid Linaf`il `Abid yang merupakan hasyiah bagi Fathul Wahhab karya Syaikhul Islam Zakaria. Begitulah sekadar untuk ingatan dan rujukan para penuntut ilmu.

Khamis, November 13, 2025

Kisah Keberkatan Yaasin

Entri kali ini faqir kongsikan satu kisah atau cerita yang dimuatkan oleh Syaikh Zainuddin al-Malibari rahimahullah, pengarang Fathul Mu`in, dalam satu lagi karya beliau yang berjodol Irsyaadul `Ibaad ila Sabiilir Rasyaad. Kitab ini telah disyarahkan oleh ulama besar Nusantara, pengarang Siraajuth Thaalibiin syarah bagi kitab Minhaajul `Aabidiin karangan Hujjatul Islam al-Ghazali radhiyaAllahu `anhu, Syaikh Ihsan bin Dahlan al-Jampesi al-Kediri rahimahullah. Syaikh Ihsan dilahirkan pada tahun 1901 dan wafat pada tahun 1952. Beliau antara ulama yang tidak pernah mengenyam pengajian di Timur Tengah, namun ilmunya setanding dengan para ulama di sana. Beliau menguasai ilmu - ilmu alat, seperti nahwu dan sharaf, sehingga dapat mengarang kitab - kitab besar berbahasa Arab yang bermutu tinggi, walaupun lidahnya tidak fasih bertutur dalam bahasa tersebut, kerana jiran - jiran dan orang sekampungnya semua berbahasa Jawa. Inilah antara keistimewaan Syaikh Ihsan dari Jampes, Kediri. Syarah beliau bagi Irsyaadul `Ibaad itu berjodol Manaahiijul Imdaad dalam dua jilid tebal.

Berbalik kepada Irsyaadul `Ibaad, Syaikh Zainuddin al-Malibari pada halaman 56 menukilkan satu cerita daripada seorang ulama terkenal, Imam al-Yafi`i al-Yamani rahimahullah sebagai berikut:- Aku (yakni Imam al-Yafi`i) telah mendengar daripada seorang yang shalih di salah satu kota di negeri Yaman bahawa pernah suatu ketika dia selesai mengebumikan satu jenazah dan orang - orang yang ikut menghantar jenazah tersebut telah bersurai, dia mendengar bunyi satu pukulan atau cambukan yang kuat lagi dahsyat dari dalam kubur si mati. Lalu muncul dari kubur tersebut seekor anjing hitam. Syaikh tersebut terperanjat dan berkata: "Aduh celaka, apakah engkau?" Anjing tersebut menjawab: "Aku adalah amalan si mati (yakni amalan buruknya yang dirupakan sebagai seekor anjing ganas)." Syaikh tersebut bertanya lagi: "Apakah pukulan tadi bagi engkau atau bagi si mati?" Anjing tersebut menjawab: "Bahkan, pukulan tadi adalah bagiku, ketika aku hendak menyerang si mati, aku dapati di sisinya ada surah Yaasin dan saudara - saudaranya (yakni surah - surah yang telah disebut terdahulu seperti as-Sajadah dan al-Mulk yang seperti Yaasin berkelebihan untuk memberikan syafaat dalam kubur) yang menghalangi antara aku dan dia, lalu aku dicambuk dan diusir."

Allahu ...Allah, begitulah kisahnya. Ingat ini hanya sebuah cerita, terpulang untuk percaya atau tidak. Namun, tidaklah menjadi bid`ah qabihah untuk mengistiqamahkan bacaan surah - surah yang mempunyai kelebihan tertentu seperti Yaasin, as-Sajadah dan al-Mulk, samada setiap malam atau sekali seminggu teristimewa di malamnya Sayyidul Ayyam. Jika ada yang membid`ahkan kita membaca surah - surah tersebut pada malam Jumaat, usah gusar kerana kita punya Hujjatul Islam al-Ghazali yang menganjurkan kita membaca surah - surah tersebut pada malam Jumaat sebagaimana yang beliau sebut dalam Bidaayatul Hidaayah. Tentang syafaat dan pembelaan daripada amal - amal shalih seperti shalat, tilawah dan seumpamanya bagi si pelaku ketika di dalam kubur atau di alam barzakh memang ada beberapa riwayat dengan berbagai darjat. Antaranya adalah riwayat yang mafhumnya bahawa ketika malaikat azab hendak mendatangi si mati dari arah kepalanya, maka ibadah membaca al-Quran si mati akan menghalangnya; Jika dia datang dari arah sisi, maka sedekah si mati akan jadi penghalang; Dan jika dia datang dari arah kaki, maka ibadah si mati berjalan ke masjid akan menolaknya. Begitu juga telah datang riwayat bahawa amalan shalih si mati akan dimisalkan atau dirupakan dengan bentuk atau rupa atau sosok yang cantik, indah rupawan, tampan lagi semerbak wangi sebagai penghibur dan temannya, manakala amalan buruknya dirupakan dengan bentuk atau rupa atau sosok yang hodoh menyeramkan lagi busuk baunya. Semoga Allah memuliakan kita ketika kita berada di alam barzakh dengan pelbagai rupa rahmat dan nikmat atau setidak - tidaknya kita ditidurkan Allah sebagaimana tidurnya pengantin, tenang, aman damai daripada fitnah dan azab kubur. Allahumma aamiin.

Kelebihan Membaca Yaasin - UAI

Khamis, Oktober 30, 2025

Shalat Hajat - Washaayal Abraar

Kitab Washaayal Abraar wa Mawaa`idzul Akhyaar adalah antara karya Mawlana Syaikh Daud al-Fathani `alaihi rahmatur Rahmani. Dalam penulisan kitab ini, Mawlana Syaikh Daud telah mengambil faedah dari berbagai sumber, antaranya kitab Iraadaatul Akhyaar wa Ikhtiyaaraatul Abraar karangan seorang wali, sufi dan ulama besar yang bernama Syaikh Syamsuddin Abu `Abdillah Muhammad bin `Umar bin Ahmad al-Ghamri al-Wasithi al-Mahalli asy-Syafie rahimahullah ( 786 - 849H / 1383 - 1445M). Beliau adalah seorang mahaguru di Universiti al-Azhar, di antara murid beliau adalah Syaikhul Islam Mawlana Zakaria al-Anshari `alaihi rahmatul Bari

Atas usaha gigih almarhum Tuan Guru Haji Wan Muhammad Shaghir, mudah - mudahan Allah memberikan sebaik - baik ganjaran baginya, kita dapat menerima dan menikmati pusaka berharga Tok Syaikh Daud. Almarhum telah mentransliterasikan kitab tersebut dan menerbitkannya dengan jodol Wasiat Abrar Peringatan Akhyar. Cuma dalam transliterasi yang dibuat almarhum ada kesilapan - kesilapan kerana naskhah - naskhah manuskrip kitab tersebut telah uzur sehingga sukar untuk dibaca pada beberapa tempat. Di sini, faqir hanya menyebut kesilapan yang berlaku pada jodol kitab Syaikh al-Ghamri tersebut, yang dalam transliterasinya dinyatakan sebagai Li Muradatil Akhyar wa Akhbaril Abrar (Cetakan Pertama - 1990) dan Kitabul Muraadaatil Akhyaar wal Ikhtiyaaril Abraar (Cetakan Kedua - 2004), sedangkan yang tepat adalah Iraadaatul Akhyaar wa Ikhtiyaaraatul Abraar. Hal ini dapat kita lihat dari naskhah jawi Koleksi Pusat Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia yang dilampirkan oleh almarhum TG Haji Wan Shaghir, ada tertulis di sana akan jodol kitab Syaikh al-Ghamri dengan huruf "ta" pada kalimah "iraadaat" tertukar dengan "nun". 

Selain daripada itu, faqir juga telah sempat melihat kajian Dr. Shetah Husain Ali Bashesh al-`Ajami dari Kementerian Waqaf dan Hal Ehwal Islam, Kuwait, tentang kitab Syaikh al-Ghamri tersebut, yang disiar dalam
al-Majallah al-`Ilmiyyah, Kuliah Syariah dan Undang - Undang, Universiti al-Azhar cabang Asyuth. Dalam kajian tersebut Dr. Shetah menyatakan bahawa jodol kitab Syaikh al-Ghamri tersebut adalah Iraadaatul Akhyaar wa Ikhtiyaaraatul Abraar dan beliau turut menampilkan gambar halaman pertama manuskrip kitab tersebut. 

Di sini faqir kongsikan salah satu amalan yang disebut oleh Mawlana Syaikh Daud sebagaimana tertera dalam manuskrip Washaayal Abrar, koleksi pribadi almarhum TG Haji Wan Muhammad Shaghir. Pada halaman 26 - 27  manuskrip tersebut dinyatakan sebagai berikut:-
Dan disebut setengah daripada orang yang shalihin, demikian katanya: " Setengah daripada faedahnya, yakni Fatihah, bahawasanya barangsiapa ada baginya hajat kepada Allah ta`ala, sanya telah besar atasnya, dan dibacanya akan dia dengan peraturannya, dan dinyata - nyatanya akan hurufnya dengan tashdiq dan iman ia akan kelebihannya, tujuh kali, ia menghadapkan ke kiblat di atas air sembahyang, yakni dengan air sembahyang yang sempurna, lagi dengan hadir hati kepada Allah, kemudian daripada sembahyang dua rakaat, dibaca tiap - tiap rakaat Fatihatul Kitab dan surah al-Ikhlas tiga kali pada tiap - tiap rakaat. Kemudian dipohonkan kepada Allah ta`ala hajatnya, nescaya diberi Allah hajatnya dengan segera pada ketika itu jua, in sya Allahu ta`ala, dan jika ada ketika malam, tiada berpagi - pagi melainkan sampailah hajatnya dan jika ada siang, tiada berpetang - petang melainkan sampai hajatnya dengan kurnia Allah dengan berkat rahsia Fatihah. Bermula Allah ta`ala menganugerahkan rezeki akan barangsiapa yang dikehendakiNya dengan tiada terkira - kira".
Sebagai penutup, agar lebih jelas kaifiat Shalat Hajat tersebut, faqir ringkaskan sebagai berikut:-
  1. Berwudhu dengan sempurna;
  2. Shalat Hajat 2 rakaat, dibaca pada setiap rakaat selepas al-Fatihah, surah al-Ikhlas 3 kali;
  3. Setelah salam, tetap menghadap kiblat dan masih berwudhu, bacalah surah al-Fatihah 7 kali dengan hadir hati, penuh keimanan dan keyakinan serta betul bacaan.
  4. Kemudian berdoalah dan mohonlah apa - apa hajat kepada Allah.
Begitulah kaifiatnya, semoga ada manfaat bagi yang berhajat. Mudah - mudahan dengan sebabnya Allah mengkabulkan segala hajat kita mengikut kehendakNya. 

Sabtu, Oktober 18, 2025

Hukum Melafaz Niat Shalat - Fiqh Madzahib

Kitab al-Fiqh `ala Madzahibil Arba`ah bukanlah kitab yang asing bagi penuntut ilmu. Sebelum tertulisnya kitab - kitab fiqh perbandingan mazhab (fiqh muqarran) kontemporer seperti Fiqhul Islamiy wa Adillatuh oleh almarhum Syaikh Wahbah az-Zuhayli atau kitab al-Mufashshal fil Ahkamil Mar-ah wa Baitil Muslim oleh almarhum Syaikh Abdul Karim Zaidan, inilah rujukan dan teks yang biasa digunakan untuk fiqh perbandingan mazhab, hingga kini tetap jadi rujukan dan panduan fiqh muqarran. Tentulah ini selain dari karya - karya klasik seperti Bidayatul Mujtahid karya Imam Ibnu Rusyd, Majmu` karya Imam Nawawi dan Rahmatul Ummah karya Imam al-Qadhi Muhammad bin `Abdul Rahman ash-Shafadi asy-Syafie @ Qadhi ash-Shafadi.

Penulis kitab ini adalah seorang ulama besar didikan al-Azhar asy-Syarif, Syaikh Abdul Rahman bin Muhammad `Awadh al-Juzairi @ al-Jaziri rahimahullah. Beliau dilahirkan di Pulau Syandawil, Mesir, sekitar tahun 1882M / 1299H. Mengikuti pengajian di Universiti al-Azhar pada 1896 - 1909, selanjutnya menjadi tenaga pengajar di sana. Beliau merupakan anggota Haiah Kibar Ulama al-Azhar sehingga beliau wafat di Hulwan pada tahun 1941M / 1360H. Kitab al-Fiqh `ala Madzahibil Arba`ah adalah kitab beliau yang paling masyhur, selain daripada kitab tersebut, beliau juga ada menulis beberapa kitab lain, antaranya: Tawdhihul `Aqaaid, Adillatul Yaqin dan al-Akhlaq ad-Diniyyah wal Hikam asy-Syar`iyyah. Mudah - mudahan Allah membalas segala amal baik almarhum Syaikh `Abdur Rahman al-Juzairi dengan sebesar - besar ganjaran pahala yang memenuhi mizan dan menjadi sebab beliau dimasukkan ke Daril Qarar bi jiwarin Nabiyyil Mukhtar `alaihi afdhalush shalati was salam.

Tentang hukum melafazkan niat sembahyang sebelum takbiratul ihram, maka pada juz 1, halaman 205, kitab tersebut, almarhum Syaikh `Abdul Rahman menjelaskan bahawa hukum melafazkan niat sembahyang seperti dikatakan oleh seseorang yang hendak sembahyang: "ushalli fardhazh Zhohri (Aku shalat fardhu Zohor)", hukumnya adalah disunnatkan (yusannu) menurut yang disepakati oleh para ulama Mazhab Syafie dan Mazhab Hanbali. Ini adalah kerana melafazkan niat di lidah, walaupun tidak dianggap sebagai niat, adalah dianggap sebagai peringatan (tanbihan) dan pembantu (musa`id) bagi hati untuk menghadirkan niat. Manakala ulama Mazhab Maliki dan sebahagian ulama Mazhab Hanafi, melafazkan niat dengan lidah tidak disyariatkan dan termasuk perbuatan yang khilaful awla untuk dilakukan, kecuali bagi orang yang diserang was-was ketika berniat. Bagi orang yang was - was, hukum melafazkan niat adalah mandub. Pandangan majoriti ulama Mazhab Hanafi pula adalah melafazkan niat shalat di lidah adalah perbuatan bid`ah, namun baik atau bagus (mustahsan) untuk dilakukan bagi menolak was - was. Jelaslah bahawa keempat - empat mazhab, tidak mempermasalahkan talaffuz bin niyyah. Pandangan yang paling keras pun, ianya bid`ah atau tidak disyariatkan, di sisi Maliki, namun jika dilakukan tanpa sebarang keperluan, hanya dianggap sebagai khilaful awla. Namun jika ada keperluan seperti untuk mencegah atau menolak timbulnya was - was, maka hukumnya berubah menjadi mandub. Tidaklah difatwakan dalam Mazhab Maliki dan Mazhab Hanafi yang ianya bid`ah dan setiap bid`ah itu sesat masuk neraka. 

Pandangan jumhur ulama Hanafi, walaupun dinyatakan perbuatan melafazkan niat sebagai bid`ah, namun hukumnya mustahsan (elok dan baik) untuk dilakukan kerana boleh mencegah was - was ketika berniat dalam hati. Maka tidaklah pelik jika dalam buku - buku panduan shalat di kalangan pengikut Mazhab Hanafi, turut memuatkan lafaz - lafaz niat shalat sebagaimana lazim dalam buku - buku pedoman shalat di tempat kita. Contohnya buku Kitab ash-Shalah terbitan Ihlas Vakfi, Istanbul, Turkiye, disenaraikan lafaz - lafaz niat bagi pelbagai shalat termasuk shalat fardhu, antaranya seperti lafaz niat Shalat Maghrib yang sebagai berikut: "Nawaitu an ushalliya lillahi ta`ala tsalatsa raka`atin fardha Shalatil Maghrib ada-an muqtadiyan bil imamil hadhir," (Aku berniat shalat kerana Allah ta`ala 3 rakaat shalat fardhu Maghrib tunai mengikut imam yang ada). Ketika mengaji dulu, faqir ramai juga kenalan dari Pakistan yang bermazhab Hanafi dan di antara mereka ada yang melafazkan niat shalat sebelum takbiratul ihram dalam bahasa Urdu. 

Selanjutnya, dalam kitab - kitab muktabar Mazhab Hanbali, samada secara langsung maupun tidak, turut memperakui penyataan yang tercatat dalam al-Fiqh `ala Madzahibil Arba`ah. Antaranya apa yang tercatat dalam kitab al-Mughni karya Syaikhul Islam, Imam Ibnu Qudamah al-Hanbali yang wafat tahun 620H, merupakan panutan dan rujukan dalam Mazhab Hanbali. Dalam juz pertama, halaman 509, beliau rahimahullah menulis sebagai berikut: .....dan makna "niat" adalah "qashad" yang tempatnya di hati dan jika dilafazkan apa yang dia niatkan maka jadilah lafaz itu sebagai pemantap/ penguat / pengukuh (ta'kidan).... Jadi, jelas dinyatakan bahawa melafazkan niat tidaklah dianggap sebagai satu kesalahan yang membawa ke neraka, bahkan sebaliknya, ia dianggap sebagai perbuatan yang menguatkan atau memantapkan keberadaan niat dalam hati.

Juga dalam kitab Mathlab Ulin Nuha karangan al-Faqih al-`Allaamah asy-Syaikh Musthafa as-Suyuthi (1765 - 1827M / 1165 - 1243H), faqih Hanbali dan mufti Hanabilah di Dimasyq (Damsyik), pada juz pertama, halaman 395, dinyatakan dengan jelas seperti berikut:- .....(dan tempatnya) iaitu tempat niat: (hati) secara wajib dan mustahab dilafazkan dengan lidah...Maka, jelas hukum melafazkan niat di lidah itu mustahab yang sinonim dengan sunat, dibuat berpahala ditinggal tidak berdosa, maka eloklah dibuat.

Sewajarnya sekarang, sudah kurun ke-21M, tidak perlu lagi pertikaian mengenai talaffuz bin niyyah ini diperdebatkan untuk memenangkan pendapat yang jadi pilihan. Apatah lagi di hadapan orang - orang awam. Sesiapa yang melakukannya tidaklah bermasalah di sisi jumhur ulama dari keempat - empat mazhab, jika pun tidak semua. Kedudukan dalam Mazhab Syafie adalah jelas bahawa ianya sunat untuk dilakukan. Sebagai penutup, faqir ingin menyatakan bahawa ungkapan yang dirangkai sebagai lafaz niat seumpama: "nawaitu ushalli fardhash Shubhi rak`ataini ada-an mustaqbilal qiblati lillahi ta`ala", yang dilakukan di luar sembahyang, adalah termasuk kata - kata luhur kerana ianya adalah pernyataan yang kita hendak menjunjung perintah Allah mendirikan ibadah agung yang diperintahkan ketika Mi'raj. Apakah tidak ucapan tersebut akan dicatat oleh Kiraman Katibin dalam buku catatan amal kita? Tidakkah Allah firman dalam Surah Qaaf Ayat 18, yang mafhumnya: "Tidak ada suatu kata yang diucapkannya melainkan ada di sisinya Malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan mencatatnya)." Kira - kira lafaz ushalli tadi, dicatat juga atau tidak? Jika dicatat, siapa yang mencatatnya? Malaikat belah kanan atau malaikat belah kiri, Raqib atau `Atid? Adakah kata - kata tersebut dinilai sebagai perkataan yang baik atau perkataan yang buruk seumpama sumpah seranah, caci maki, tohmah dan buhtan? Renung - renungkanlah.

Rabu, Oktober 08, 2025

Hadis Jabir - Syaikh Muhammad Jaad

Hadis Jabir tentang penciptaan makhluk terawal Nur Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam sebagaimana yang dinukil oleh Imam al-Qasththalani telah diriwayatkan oleh para ulama kita sejak dahulu lagi Tanpa menafikan wujudnya pertikaian di kalangan mereka mengenai kedudukan dan statusnya. Sebagaimana yang disebut oleh almarhum al-`Alim al-`Allaamah al-Muhaddits Dr. Sayyid Muhammad bin `Alawi al-Maliki dalam ta'liq beliau bagi Mawlid ad-Diba`ie yang dicantumkan dalam karya beliau yang berjodol Baaqatun `Athirah pada halaman 101 yang antara lain menyebut:- ... Di sini pengarang (yakni Syaikh Abdul Rahman ad-Diba`ie) mengisyaratkan kepada hadis yang masyhur, iaitu hadis "Seawal - awal makhluk yang telah Allah ciptakan adalah Nur Nabimu, wahai Jabir" ..............yang diriwayatkan oleh Imam `Abdur Razzaq ash-Shan`aani dengan sanadnya daripada Sayyidina Jabir, sebagaimana disebut dalam al-Mawaahibul Laduniyyah. Menurutku (yakni almarhim Dr. Sayyid Muhammad al-Maliki): "Ada perselisihan pendapat di kalangan para ulama mengenai (status) hadis tersebut. Sebahagian ulama mensabitkannya, manakala sebahagian lagi menolaknya....." Begitulah kedudukannya, maka berlapang dadalah, yang bersetuju dengan pensabitan, sila; Yang menolak pensabitan, juga tidak mengapa. Perkara ini biarkan sahaja sebagai satu perkara khilaf yang muktabar di sisi ahli ilmu. Maka tidak perlu untuk mana - mana pihak bermati-matian memenangkan pandangan masing - masing sehingga ke tahap mencela dan merendah pihak lawan yang akhirnya akan membuahkan perseteruan dan terungkainya ikatan ukhuwwah dan hilangnya adab kesopanan. Ingat pesan tok - tok guru kita, ketika menanggapi perselisihan pendapat di kalangan ulama: "Berselisih boleh; Berlaga jangan".

Selanjutnya, faqir kongsikan riwayat Hadis Jabir daripada almarhum al-Adib, al-Muhaddis, al-`Alim al-`Allaamah Syaikh Muhammad Abdur Rahim Jaad Badruddin al-Husaini al-Hasyimi al-Mishri. Syaikh Muhammad Jaad Badruddin adalah seorang ulama keluaran al-Azhar asy-Syarif yang dikenali ramai kerana ilmu dan dakwah yang merata. Beliau juga dikenali melalui karangannya yang berbentuk buku, maqalah, risalah dan bait - bait syair yang indah. Beliau giat mengajar di berbagai universiti dan perguruan tinggi, baik di Mesir juga di tempat lain seperti Makkah al-Mukarramah, Bangladesh dan sebagainya, selain berperan dalam Rabithah `Alam Islamiy, terutama dalam bidang dakwah dan pendidikan dan terlibat dalam mendirikan berbagai lembaga pendidikan dan madrasah di Asia, Afrika dan Eropah. Sejak kecil lagi beliau telah menghafal al-Quran dan belajar daripada para masyaikh, bahkan beliau memiliki sanad `aliy (sanad periwayatan hadis dengan bilangan perawi yang lebih sedikit) daripada guru - guru beliau yang mu`ammar (yang berumur panjang). Beliau yang dilahirkan di Tala, Manufiyyah, Mesir pada 16 Januari, 1932, telah wafaf pada 6 Februari, 2016. Kita masih dapat mendengar dan menonton sebahagian rakaman dakwah dan pengajian beliau yang masih beredar di media sosial, youtube dan sebagainya. Mudah-mudahan Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya sentiasa.

Hadis Jabir
ini beliau riwayatkan daripada ayahandanya, al-Mu`ammar Syaikh Jaad Badruddin yang usianya sehingga 124 tahun. Ayahnya pula menerima riwayat daripada gurunya yang juga seorang yang panjang umur, al-Mu`ammar al-Muhaddits Syaikh Muhammad `Abdullah Duwaidar at-Talaawi al-Kafrawi yang meriwayatkannya daripada guru beliau, Syaikhul Azhar, Syaikhul Islam Ibrahim al-Bajuri rahimahumullah. Bayangkanlah sosok - sosok yang menjadi perawi bagi hadis ini, merupakan nama - nama besar dalam periwayatan dan keilmuan dalam pelbagai bidang dan cabang ilmu. Oleh itu, tahanlah lidah dari berbicara atau berbahas tanpa mendahului adab dan etika kepada masyaikh dan ulama yang tidak diragui keilmuan dan kesarjanaan mereka. Semoga kita mendapat manfaatnya daripada ilmu dan keikhlasan mereka.

Riwayat Hadis Jabir